Tambang BRT Lembah Klang Diluluskan Kabinet
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan bahawa Kabinet telah meluluskan struktur tambang Bas Rapid Transit (BRT) bagi Lembah Klang pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Julai, 2015.
Kabinet telah meluluskan struktur tambang yang terdiri daripada komponen tambang asas sebanyak RM0.90 dan komponen tambang berdasarkan perjalanan setiap kilometer, bermula dengan RM0.815 setiap kilometer bagi 6km pertama, RM0.513 setiap kilometer untuk perjalanan 6 hingga 12km, RM0.421 setiap kilometer untuk perjalanan 12 hingga 18km, RM0.282 untuk setiap kilometer bagi perjalanan 18 hingga 24 km dan RM0.212 setiap kilometer bagi perjalanan melebihi 24km. Struktur ini menghadkan tambang maksimum yang boleh dikenakan bagi perkhidmatan BRT. Dengan itu pihak pengendali tidak dibenarkan mengenakan tambang melebihi kadar yang telah ditetapkan ini.
Kabinet juga mengarahkan pengendali memberikan potongan tambang sebanyak 50% bagi pelajar, warga emas dan orang kurang upaya.
Sistem BRT Sunway Line adalah BRT yang pertama di Lembah Klang dan dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Struktur tambang tersebut tidak dapat menampung kos operasi BRT pada kadar penggunaan kini. Dengan itu bagi memastikan pengguna menikmati kadar tambang yang rendah, Kerajaan telah meluluskan subsidi tahunan sebanyak RM14 juta untuk tempoh tiga tahun kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana). Ini akan membantu menampung perbezaan di dalam pengutipan tambang dan kos operasi bagi memastikan rakyat mampu menggunakan perkhidmatan tersebut.