STARMART EXPRESS MEMBELI 50 UNIT BAS VOLVO

Created: 18.January 2017

Starmart Express Sdn Bhd baru-baru ini menganjurkan majlis bagi mengumumkan pembelian 50 buah bas baru buatan Volvo di pejabat utama mereka di Taiping, Perak. Starmart Express merupakan syarikat yang diasaskan semenjak tahun 1997 lagi dan merupakan salah satu syarikat perkhidmatan bas ekspres yang utama di Malaysia. Syarikat ini telah berada lama dalam industri pengangkutan awam, oleh itu, pengalaman telah menjadikan mereka terkehadapan. Ini termasuklah dengan adanya pegawai kesihatan dan keselamatan untuk pemandu, mesyuarat pegawai dengan para pemandu setiap bulan, bengkel-bengkel pembaikian bas dan sebagainya.



Syarikat ini juga mempunyai asset yang luas dan besar seperti tangka diesel sendiri, van pengangkutan, rescue-lorry sendiri bagi kerja pembaikian bas, berserta dengan USB massage coach; semua ini menjadikan perkhidmatan mereka kepada pelanggan lebih efisien dan produktif. Majlis pelancaran diadakan oleh syarikat tersebut dengan besar-besaran kerana ia adalah suatu upacara yang menjadi kebanggaan bagi pengurusan syarikat tersebut.

Tetamu kehormat yang hadir di majlis tersebut ialah Tan Sri Dato' Seri Dr. Syed Hamid Bin Syed Jaafar Albar yang merupakan pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat, SPAD. Berucap pada majlis itu, Tan Sri Syed Hamid Albar mengambil kesempatan untuk menyampaikan kepentingan keharmonian negara supaya ekonomi negara, serta syarikat-syarikat dalam industri pengangkutan awam dapat terus berkembang:

"Kita sekarang ini tidak lagi hidup dalam dunia terpencil. Kita tinggal dalam apa yang dipanggil 'global village' atau perkampungan global. Semua kita mesti dapat melaksanakan tugas kita untuk menjadikan negara ini harmoni, agar syarikat seperti syarikat Starmart dapat berkembang dengan subur ... Sangat penting untuk mengekalkan kesatuan dan kebersamaan rakyat kita. Kita lihat di dunia hari ini penuh dengan pergaduhan dan konflik di merata tempat. Kita tidak mahukan perkara tersebut. Kita perlu hidup sepanjang masa dengan keharmonian."

Bercakap mengenai usaha kerajaan dalam membangunkan industri pengangkutan awam, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan:

"Kerajaan telah memperkenalkan, yang mutakhir sekali, apa yang dipanggil TN50 atau Transformasi Nasional 50. Dalam Transformasi Nasional, salah satu prioriti kerajaan adalah untuk menentukan bahawa pengangkutan awam menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pergerakan ekonomi di dalam negara kita. Dari segi melahirkan pekerjaan-pekerjaan baharu, kita mahukan pengangkutan awam memainkan peranan dalam membangunkan ekonomi kita. Oleh itu kerajaan telah membelanjakan berbilion-bilion ringgit demi membangunkan pengangkutan awam di dalam negara kita."

Turut berlangsung pada majlis itu merupakan pemberian hadiah penghargaan kepada para pemandu bas yang cemerlang. Kecemerlangan mereka ini diukur berdasarkan disiplin kerja mereka, tatatertib serta system merit yang digunapakai oleh syarikat Starmart. Hadiah penghargaan disampaikan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar sendiri diiringi oleh Datuk Siva Subramani, kepada tiga orang pemandu bas syarikat tersebut.

Majalah AsianBuses sempat mengambil masa duduk sebentar bersama para VIP daripada pengurusan syarikat Starmart serta wakil daripada Volvo Malaysia. Ditanya tentang mengapa beliau memilih Volvo, Datuk Siva Subramani menerangkan: "Kami sebenarnya ingin menaiktaraf bas-bas kami yang sedia ada kepada bas yang lebih baharu dan lebih baik. Ini juga kerana terdapat permintaan yang besar dalam pasaran pengguna terhadap jumlah bas yang lebih banyak. Jadi kami memilih Volvo disebabkan oleh servis yang disediakan oleh Volvo adalah antara yang terbaik, serta kami mendapat pulangan wang yang bagus daripada pelaburan ini. Selain itu, Volvo juga menyediakan khidmat latihan pemandu, oleh itu kami dapati ini sangat sesuai bagi menambahbaik servis yang kami sediakan kepada pasaran industri pengangkutan awam ini."

Satu ciri menarik yang ada pada syarikat Starmart juga adalah terdapatnya jabatan keselamatan yang akan menilai cara pemanduan para pemandu. Di dalam temu ramah, Norliza Sulaiman yang merupakan pegawai keselamatan Starmart berkata: "Kami menilai keselamatan ini berdasarkan pemanduan mereka di atas jalanraya. Terdapat risiko-risiko yang kami ambil perhatian juga dalam perjalanan dan maklumat-maklumat ini kami gunakan untuk memberikan pengetahuan tambahan kepada para pemandu kami agar keselamatan dapat dioptimumkan. Kami juga menggunakan system ganjaran di mana para pemandu yang berprestasi tinggi dan cemerlang akan diberikan ganjaran berbentuk wang tunai dan sebagainya. Ini menggalakkan mereka untuk lebih mementingkan aspek keselamatan dalam pemanduan mereka."

Semenjak penubuhan, syarikat StarMart Express telah berkhidmat untuk jutaan rakyat Malaysia serta syarikat tersebut telah berkembang dengan pesat. Dengan perkembangan khidmat dan servisnya ke laluan yang lebih banyak serta permintaan yang lebih tinggi ini, sudah pasti bas-bas yang baru daripada Volvo akan digunapakai dengan baik bagi manfaat syarikat dan sejagat.


Majlis dan jamuan yang diadakan merupakan perasmian kepada penyerahan bas Volvo kepada syarikat Starmart, yang akan dimulakan dengan 10 bas terlebih dahulu. Ketika ini 5 unit sudah pun beroperasi di atas jalan raya serta 5 unit lagi sedang melalui proses pendaftaran. Baki 40 unit bas yang lain masih lagi berada pada peringkat pembuatan dan akan diserahkan secara berperingkat sehingga suku terakhir tahun ini.