Politeknik Sandakan Sabah (PSS) Institusi Pengajian Tinggi pertama di Malaysia menandatangani perjanjian "Scania Ecolution Agreement"
Buat julung kalinya sebuah institusi pengajian tinggi di Malaysia iaitu Politeknik Sandakan Sabah (PSS) telah menandatangani perjanjian 'Scania Ecolution Partnership'. Perjanjian ini ditandatangani oleh Encik Tajul Ariffin Mohamed Arif selaku Pengarah Politeknik Sandakan Sabah dan Encik Tom Kuiphuis selaku Pengarah Pra Jualan Scania Asia Tenggara dalam satu upacara tandatangan yang diadakan di kampus PSS yang bertempat di Hab Pendidikan Sandakan.
PSS ditubuhkan pada 2008 dan merupakan Politeknik kedua di Sabah di antara 2 politeknik dan telah memperoleh kampus sendiri dengan kemudahan lengkap pada 2012. Kini mereka menawarkan Diploma Teknologi Agro dan Diploma Akuakultur kepada pelajar SPM yang berkelayakan dari seluruh Malaysia dengan 85 peratus pelajar dari Sabah.
"Kami memilih untuk menawarkan 2 jenis diploma ini berdasarkan kaitan rapat dengan alam sekitar, selari dengan Pelan Strategik PSS - 2019 - 2023 untuk mengubah semula kompleks kampus yang sedia ada sebagai Kampus Hijau menjelang 2023. Kami percaya dalam mengikuti program Scania Ecolution melalui model Scania K360IB4x2 secara tidak langsung akan dapat membantu Objektif Hijau kami iaitu mengurangkan impak ke atas alam sekitar dengan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang rendah." kata Encik Tajul.
PSS amat bersukacita kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada program Scania yang telah banyak mengurangkan kesan terhadap alam sekitar. Program ini bukan hanya dapat mengurangkan kos operasi PSS malah juga dapat mengurangkan tapak karbon dengan pelepasan karbon dioksida (CO2) yang rendah melalui penggunaan bahan bakar yang rendah.
Untuk mendapatkan manfaat sepenuhnya dari pengendalian bas berteknologi maju ini, pemandu hendaklah mempunyai sikap yang betul. Dengan itu, PSS akan mendaftarkan pemandu-pemandu mereka dengan perkhidmatan Scania Driver Training and Coaching. Ini akan membantu para pemandu mengubah cara pemikiran mereka dan mempercayai bahawa setiap pemandu memainkan peranan yang penting dalam usaha memelihara alam sekitar.
Bas Scania ini menawarkan masa tanpa gangguan yang sangat baik. Ini akan banyak membantu PSS melaksanakan program-program mereka dengan lebih sempurna bukan sahaja di Sandakan, tetapi juga di seluruh Sabah beserta Brunei. Selain itu, PSS juga telah menandatangani kontrak Scania Maintenance dan mendaftar dalam Scania Fleet Management System Control 10, justeru menjadikan operasi bas bebas dari masalah. Pembelian bas Scania K360IB4x2 adalah satu pelaburan yang berbaloi untuk PSS dan menjanjikan sistem pengangkutan yang lebih baik untuk pelajar-pelajar PSS.
"Bilangan pelajar kami mencecah hampir seribu orang. Kami memerlukan lebih banyak bas untuk mengangkut para pelajar yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti berjadual di luar kampus. Bas Scania K360IBx42 yang telah dibeli pada 2012 masih berjalan lancar di samping memberi keselamatan, keselesaan, kebolehpercayaan dan ekonomi bahan bakar yang baik. Kami berhasrat untuk membeli sebuah lagi bas Scania dalam masa terdekat ini dan masih menunggu kelulusan bajet," tambah Encik Tajul.
"Scania telah lama memperkenalkan penyelesaian pengangkutan yang mampan, terutama dalam mengurangkan pelepasan CO2. Majlis tandatangan ini adalah bukti usaha Scania ke arah komitmen 2050 untuk mensifarkan tapak karbon. PSS, sebagai institusi pegajian tinggi pertama di Malaysia bukan hanya berprestij, tetapi juga memikul tanggungjawab untuk memimpin dan menunjukkan hasil yang positif supaya dapat dijadikan contoh kepada institusi lain," tambah Encik Kuiphuis.
"Pada keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan selepas jualan Scania dan saya percaya tahap komitmen Scania terhadap PSS adalah amat memuaskan. Dengan pelaksanaan Scania Ecolution Agreement, kami yakin dapat merealisasikan status Kampus Hijau pada 2023. Saya amat berharap usaha pemeliharaan alam sekitar kami ini yang melibatkan kesemua pelajar kami, walaupun kecil, tapi mampu menghasilkan pengaruh positif ke atas keluarga dan rakan para pelajar," simpul Encik Tajul.