UD Trucks dan TCIE Serah 10 Unit prime Mover Tugas Berat Quester Kepada Penyedia Logistik Serantau, EH Utara Holdings

Created: 20.July 2022

UD Trucks Malaysia dan rakan pengedar tunggal Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), menerusi pengedar lantikannya di Kedah, LK Utara Sdn Bhd baru-baru ini menyerahkan 10 unit trak tugas berat UD Quester baharu kepada pelanggan setia yang juga merupakan antara penyedia logistik terbesar di rantau ASEAN, EH Utara Holdings Sdn Bhd (EH Utara). 10 unit Quester itu terdiri daripada lima unit prime mover UD Quester GDE 6x2 dan GKE 4x2 masing-masingnya.

EH Utara, sebuah syarikat tempatan yang bermula sebagai perniagaan kecil pada tahun 1975 telah berkembang menjadi salah satu penyedia logistik terbesar di rantau ini dengan menawarkan perkhidmatan logistik lengkap bersama sistem pengesanan dan transisi yang terbaik. Ia memberitahu bahawa prime mover UD Quester baharu itu akan digunakan untuk menyokong peningkatan aktiviti perniagaan dalam industri logistik yang kian rancak selepas tempoh pandemik.

Dengan penambahan 10 unit trak baharu, EH Utara kini sudah memiliki 91 unit trak UD daripada 120 trak dalam rangkaian traknya. Satu majlis penyerahan telah diadakan baru-baru ini di antara pasukan pengurusan kanan daripada kedua-dua buah syarikat. Ia menandakan penyerahan rasmi serta meraikan pencapaian pertambahan trak UD dalam rangkaian trak mereka.

Pengarah Urusan UD Trucks Malaysia, Steve Hedouin berkata, “Pertamanya, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada EH Utara atas kepercayaan serta sokongan mereka terhadap UD Trucks dengan menjadi pelanggan kami yang paling setia.

“Trak UD Quester membuktikan satu evolusi dalam inovasi Jepun yang menawarkan penyelesaian lebih pintar dalam pengendalian perniagaan logistik pada hari ini. UD Quester menggabungkan penjimatan bahan api terbaik dengan ketahanan, seterusnya menjadi rakan yang ideal untuk menyempurnakan tugas berat dan perjalanan jauh buat pelanggan yang mahukan lebih kuasa serta prestasi kerana ia dibina untuk pergi lebih jauh. Kami sangat gembira kerana trak ini telah menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan EH Utara dan akan terus melakukan perkara yang sama.”
Model Quester GDE dan GKE transmisi manual dikuasakan oleh enjin diesel GH11 yang mematuhi standard Euro 3 dan mampu menjana output maksimum 390 kuasa kuda. Ia hadir bersama reka bentuk aerodinamik, kabin rehat dengan katil, bampar komposit, deflector kotoran, kabin boleh dinaikkan secara elektrik dan pelbagai ciri lain. Trak Quester juga menawarkan kuasa membrek terbaik, terima kasih kepada sistem brek udara bersama pengubah slack dan banyak lagi.

Pengarah Eksekutif EH Utara Holdings Sdn. Bhd., Jack Lim berkata, “Skala dan jangkauan geografi perniagaan kami selaku salah satu penyedia logistik terbesar di ASEAN benar-benar memerlukan kami untuk menggerakkan kenderaan tugas berat yang berkuasa, tahan lasak dan menjimatkan bahan api dengan tempoh operasi yang tidak terganggu, selamat serta selesa.

“Syarikat kami membeli trak UD pertama pada tahun 1998 dan kami terus membelinya sehingga kini. Saya boleh menyatakan dengan yakin bahawa kami sangat berpuas hati dengan kualiti dan ketahanan UD Trucks. Pasukan servis TCIE sentiasa bersedia untuk berkhidmat apabila sokongan diperlukan. Ini merupakan faktor penting yang menjadi nilai tambah kepada perniagaan dan pelanggan, dengan mengekalkan produktiviti sepanjang jangka hayat sesebuah kenderaan.”

Pengarah Eksekutif TCIE, Say Teck Ming berkata, “Trak UD Quester direka untuk tempoh operasi lebih lama dan prinsip-prinsip keselamatan demi membantu pelanggan kami seperti EH Utara untuk kekal berada di hadapan. Bukan itu sahaja, trak-trak UD Quester hadir dengan kabin luas dan ciri mesra pemandu yang direka untuk memberi keselesaan dalam perjalanan panjang, mengurangkan keletihan dan sememangnya ideal bagi pemanduan yang jauh. Persekitaran yang direka khas ini menyumbang kepada pemanduan lebih selamat dan menjimatkan bahan api. Sekali gus dapat membantu pelanggan kami agar lebih kompetitif dalam mengekalkan pemandu terbaik mereka.”

Di Malaysia, pelanggan UD Trucks disokong oleh rangkaian pusat servis dan pengedar TCIE yang luas. Ia menawarkan perkhidmatan UD Extra Mile Support yang merangkumi Servis dan Alat Ganti Tulen UD, Latihan Pemandu UD, Perkhidmatan Telematik UD dan Perjanjian Servis UD.