Trucker of the month : Sidhu Brother

Created: 28.August 2018

Wartawan Asian Trucker, Carol Yeoh, menemu-ramah pemandu trak Sidhu Brother, Rashjit Singh, untuk tahu bagaimana beliau mengurus dirinya dalam industri yang semakin tidak popular di kalangan anak-anak muda.

AT: Secara ringkas, sila perkenalkan diri anda.

RS: Hai, nama saya Rashjit Singh, masih bujang dan hobi saya adalah membaca dan mengkaji tentang trak.

AT: Hobi yang menarik memandangkan anda banyak meluangkan masa di dalam trak. Boleh anda ceritakan pengalaman sebagai pemandu trak?

RS: Sejak kecil lagi saya minat dan ingin memandu trak. Sejak umur 14 tahun, selepas sekolah saya akan ikut ayah apabila dia memandu traknya. Ketika itu, saya berpendapat bahawa kebolehan memandu trak adalah sesuatu yang ‘cool.’ Kemudian pada umur 21 tahun, akhirnya saya dapat lesen, dan mula memandu secara sambilan ketika cuti semester kolej. Ini membantu saya memperoleh sedikit wang poket lebih manakala minat terhadap trak pula semakin bertambah. Sekarang saya berusia 28 tahun dan telah memandu trak sejak kolej kerana ia membahagiakan saya dan saya ingin terus lakukannya.

AT: Apakah rutin harian anda?

RS: Saya selalu bangun pada jam 4 pagi dan akan tiba ke depot untuk memeriksa trak untuk memastikan setiap perkara pada senarai semak dipenuhi. Saya biasanya akan membeli Costa Coffee sebagai persediaan untuk memandu jarak jauh. Saya akan selesai memandu dan pulang ke rumah pada lewat malam. Kalau terlalu lewat, saya tidak akan pulang ke rumah. Saya akan tidur sahaja di dalam trak kerana ia agak selesa.

AT: Apakah aktiviti hari cuti anda?

RS: Saya selalu jauh dari rumah ketika bekerja oleh itu saya lebih suka duduk di rumah sahaja pada hari cuti. Saya luangkan masa Bersama keluarga, tonton televisyen dan cuci baju. Saya hanya mahu berehat sahaja di atas katil.

AT: Ke manakah biasanya anda pandu dan bagaimanakah perjalanannya?

RS: Kebanyakan masa saya memandu ke Pantai Timur seperti Terengganu, Kelantan dan Pahang untuk mengambil kargo dan hantar ke Pelabuhan Klang. Laluan kegemaran saya adalah KL-Lebuhraya Karak. Pemandangan sepanjang jalan itu agak menakjubkan. Sepanjang perjalanan saya suka mendengar berita terkini di radio. Ini sahaja sumber berita pada saya kerana tiada masa untuk menontonnya di televisyen atau membaca suratkhabar. Saya juga akan berbual dengan pemandu-pemandu trak yang lain melalui Bluetooth untuk saling menukar maklumat yang didapati ketika memandu. Pelbagai maklumat yang dikongsi, dari sarapan pagi kami hinggalah ke perkara serius seperti kemalangan jalan raya. Tidak pernah ada hari yang membosankan bagi pemandu trak.

AT: Apakah pengalaman anda yang paling istimewa sepanjang bekerja sebagai pemandu trak?

RS: Ketika tiada air di Lembah Klang, Sidhu Brothers menghantar bekalan air ke kebanyakan kawasan yang terlibat dan saya memandu sepanjang hari untuk memenuhi keperluan orang ramai. Salah satu tempat hantaran adalah sebuah asrama kolej swasta. Sudah beberapa hari para pelajar di situ tiada bekalan air. Sebaik sahaja mereka nampak trak saya memasuki pagar asrama, mereka berlari kea rah saya bersama baldi, sambil menjerit kegembiraan. Pada saya, peristiwa itu tidak dapat dilupakan. Saya juga sedar betapa pentingnya akses bekalan air bersih.

AT: Pengalaman paling buruk?

RS: Ketika musim banjir Pantai Timur pada tahun 2014, saya memandu pulang ke Klang dari Kuantan dan terdampar selama lima hari bersama rakan-rakan pemandu yang lain di LPT1. Kami tiada bekalan makanan dan sangat lapar. Syukur kakitangan lebuhraya mengedarkan sedikit bekalan makanan untuk kami, walaupun minima. Sekarang saya simpan bekalan makanan untuk kecemasan seperti roti dan biskut di dalam trak pada setiap masa.

AT: Apakah rancangan masa depan anda?

RS: Saya ingin memperoleh trak sendiri dan menjadi ‘sub-contractor’ untuk Sidhu Brothers. Syarikat ini mempunyai polisi di mana pemandu trak boleh menjadi sub-contractor jika mereka mempunyai rekod yang baik termasuk disiplin dan bekerja keras. Ia membolehkan pemandu bina masa depan dengan sokongan syarikat. Apabila pemandu boleh membeli trak sendiri, mereka boleh membawa kargo syarikat untuk pendapatan yang lebih tinggi. Tetapi mestilah dengan syarat tetapi saya kini bekerja keras untuk mencapai sasaran itu.

AT: Apa pendapat anda tentang pandangan orang ramai terhadap pemandu trak?

RS: Secara umum, kebanyakan mereka pandang rendah terhadap pekerjaan kami yang dianggap sebagai “kotor”. Namun, mereka yang bekerja dalam industry trak dan logistik menghormati kami kerena kamilah yang menggerakkan industri ini. Berlainan orang, berlainan pendapat dan saya tapis komen-komen negatif kerana sayu tahu pekerjaan saya sama pentingnya dengan pekerjaan-pekerjaan lain.

AT: Apakah yang boleh diperbaiki untuk pemandu trak?

RS: Mungkin waktu pekerjaan. Kebanyakan pemandu trak hanya pulang ke rumah seminggu sekali, dan hampir tidak pernah pada hujung minggu. Isu tempat letak trak juga semakin di luar kawalan. Tempat letak trak di R&R sangat terhad maka kami terpaksa menggunakan laluan kecemasan. Ini adalah isu keselamatan jalan raya yang serius. Ada juga kes kecurian di mana kami pemandu-pemandu trak risaukan keselamat kami.

AT: Pernahkah anda terfikir untuk menceburi bidang pekerjaan lain?

RS: Saya pernah cuba bekerja sebagai ejen panggilan dan pekerja admin selama beberapa bulan tetapi ia tidak sesuai untuk saya. Saya tidak suka duduk di pejabat sepanjang hari. Saya lebih cenderong terhadap industry trak di mana pendapatannya juga lebih lumayan dan yang lebih penting, saya sentiasa bergerak atau dalam perjalanan. Suatu ketika dahulu saya melalui pekan yang indah di Bentong dan menikmati buah durian di situ.

AT: Nampaknya anda memang serasi dengan pekerjaan anda. Terima kasih kerana sudi ditemu-ramah dan selamat jalan!