Satu Perjalanan, Beribu Pengalaman

Created: 20.February 2020

Khairul Anwar, pemandu trak pilihan Asian Trucker bulan ini, percaya dengan falsafah hidup yang ceria dan berwarna-warni samaada di dalam mahupun diluar tugasannya sebagai pemandu trak.

Khairul Anwar, 27 tahun, satu jangka usia yang penuh cabaran, merupakan seorang yang begitu ringkas namun ceria di dalam menjalani kehidupannya, tidak kira didalam apa jua cabaran samaada kecil mahupun besar. Beliau yang sudah pun menceburi dan berkerja didalam bidang pengangkutan berat hampir empat tahun, walaupun penglibatannya dianggap baru namun beliau telah menunjukkan minat yang begitu mendalam khususnya di dalam pemanduan trak.

Bermula sebagai kelindan pada tahun 2016 bersama sahabat beliau yang bekerja sebagai pemandu trak, penglibatan beliau bertujuan untuk mengenali selok-belok pengendalian trak dan buat pertama kalinya beliau merasa begitu teruja dengan pengalamannya menaiki Volvo FMX, yang pada ketika itu model tersebut merupakan model kenderaan trak komersial yang banyak diperkatakan dan menjadi bahan bualan di kalangan industri trak berat. Beliau yang pada ketika itu masih dalam proses untuk memperolehi lesen VDL bagi membolehkan beliau menjalankan operasi pengangkutan untuk kenderaan muatan 2.5 tan dan kebawah, telah menunjukkan kemahiran dan minatnya dalam bidang pemanduan trak justeru mengikut langkah mentor beliau yang merintasi sempadan dengan memandu treler bermuatan pasir.

Setelah hampir lima bulan mempelajari dan mengenali selok-belok sehingga berjaya memperolehi lesen VDL, beliau telah berjaya mendapat pekerjaan yang memerlukan beliau memandu lori saiz muatan biasa bagi pengangkutan kotak di kawasan berdekatan tempat tinggal beliau. Setelah hampir enam bulan berkerja, beliau diberi peluang dengan memandu lori muatan 10 tan, dengan jarak perjalanan yang panjang diantara Kuala Lumpur dan juga Johor Bahru. Malahan beliau merasa begitu selesa dan memilih untuk memandu pada jarak yang panjang dan menurut Pemandu Pilihan bulan ini, beliau memang benar-benar berminat dalam pemanduan jarak jauh dah berharap satu hari nanti beliau diberi peluang untuk membuat lawatan ke Auroville, India. Menurutnya lagi, pengalaman ulung beliau ialah dengan memandu kereta ke Koh Samui, Thailand, beberapa tahun lalu dan ini telah membuka matanya dan perjalanan selama satu minggu tersebut benar-benar memberi kepuasan dan menimbulkan minat dalam mendalami ilmu pemanduan. Di samping itu, beliau juga merasakan perjalanan jarak jauh ini dapat memberi peluang untuk mengenali pelbagai adat dan budaya di setiap negara dan tempat yang dilawatinya

Selama beberapa tahun beliau mendalami dan memahami selok-belok pemanduan, berkat dari pengalaman ini telah membawa dirinya ke Syarikat dimana beliau berkerja sekarang di Tiong Soon Trading & Transport Sdn Bhd (Tiong Soon). Beliau berpuas hati setakat ini membuat tugasan dalam penghantaran muatan panel kaca solar untuk Syarikat kaca yang mempunyai kontrak bersama Tiong Soon. Sebagai pekerja di syarikat ini, Khairul Anwar, diberi tanggungjawab keatas Scania R440, yang pada beliau, kenderaan ini memberi kepuasan dan merupakan trak yang terbaik setakat ini. Salah satu ciri-ciri yang begitu menarik dengan trak ini yang menjadi kepuasan beliau adalah kemudahan dan keluasan tempat tidur yang begitu selesa.Tempat tidur yang selesa ini membantu beliau meneruskan perjalanan dengan lebih segar, dan yakin. Setiap kali beliau meneruskan perjalanan jauh, beliau begitu bangga memaklumkan bahawa beliau memperolehi tempat tidur yang paling selesa. Munurutnya lagi kepada Asian Trucker, trak idaman beliau adalah salah satu model dari Scania model S-Series dan berharap agar satu hari nanti beliau diberi peluang untuk menerajui trak idaman ini di bawah kendaliannya.

Syarikat kaca yang mempunyai kontrak bersama Tiong Soon, terletak di Jasin, Melaka dan dikenali di kalangan orang tempatan berdekatan dan juga dikalangan pemandu trak. Perjalanan dan tanggungjawab harian Khairul Anwar mengikut jadual yang berbeza dan laluan perjalanan diantara Jasin ke Pulau Pinang ataupun dari Pulang Pinang ke Port Dickson, lazimnya beliau akan mengambil kesempatan bermalam di Pulau Pinang. Disana, beliau juga tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati Char Kuey Teow Sungai Dua, yang begitu dikenali di Seberang. Kenikmatan dan kelebihan masakan ini bukan sahaja terletak pada keenakan kuahnya bersama telur mata. Apabila pulang dari tempat kerja, Khairul akan terus pulang ke tempat asalnya di Tangkak, Johor yang hanya mengambil masa 15 minit sahaja dari Jasin.


Pada waktu tiada tempahan kaca solar dan tiada penghantaran perlu dibuat, Khairul Anwar akan menggunakan masa yang terluang itu dengan membuat pembelian secara atas talian membeli peralatan pengangkutan dan bahan-bahan bagi kerja pemasangan lampu atau penwayaran, samaada untuk kegunaan trak ataupun kegunaan dirumah ibubapanya. Beliau yang mahir dan cekap mempelajari seringkali mendapat motivasi dalam membuat apa-apa bentuk kerja DIY melalui video atau Youtube. Memandangkan beliau sibuk, kerja-kerja pemasangan paip diserahkan kepada bapanya. Jadi beliau menghabiskan masa dengan kerja-kerja DIY membantu dan membersihkan kawasan persekitaran rumah ibubapa beliau.


Sekiranya tiada aktiviti untuk dilakukan di rumah dan keadaan trak yang sempurna tanpa sebarang masalah, beliau akan meluangkan masa beliau dengan menonton wayang di Bandar Melaka. Memperolehi ijazah di dalam bidang Filem dan Penyiaran dari Universiti Kolej Kuala Lumpur Metropolitan (KLMUC), membuatkan beliau begitu kagum dan berminat dengan kerja-kerja yang berkaitan dengan kamera. Sebelum bekerja sebagai pemandu trak, beliau pernah bekerja sebagai jurugambar dan juruvideo di majlis perkahwinan, studio dan butik perkahwinan yang terletak di kampung beliau. Menurut Khairul Anwar, minatnya tidak akan pudar malah beliau masih lagi menyimpan peralatan kamera yang digunakan sewaktu pengajian di Universiti dan Studio yang pernah beliau bekerja dulu. Bila ditanya siapakah pelakon yang diminati, beliau dengan teruja memberitahu Asian Trucker bahawa pelakon Hollywood yang paling diminati ialah Johnny Depp, yang dianggap sebagai salah seorang pelakon hebat kerana berjaya membawa pelbagai watak yang dilakonkan dengan penuh emosi. Sementara itu di antara filem Hollywood yang sentiasa menjadi pilihan sepanjang masa ialah V for Vendetta, filem yang berunsurkan politik yang disampaikan secara tidak langsung. Tak terkecuali, siapa sangka beliau juga merupakan peminat tegar Bollywood, lakonan Salman Khan dalam filem Bajrangi Bhaijaan!