Projek Penyusunan Semula Rangkaian Bas Henti-Henti Lembah Klang (BNR)

Created: 19.May 2016

Projek penyusunan semula Rangkaian Bas Henti-henti (BNR) merupakan salah satu inisiatif SPAD yang telah dilancarkan pada 1 Disember 2015 untuk menambah baik perkhidmatan bas di kawasan Greater Kuala Lumpur / Lembah Klang (GKL/KV). Matlamat utama BNR adalah untuk menambah liputan kawasan bas, meningkatkan kekerapan, menambah baik prestasi pengendali, kecekapan rangkaian bas serta meningkatkan kebolehpercayaan pengguna.

Di bawah pelaksanaan BNR, koridor-koridor bas yang sedia ada telah disusun semula menjadi koridor-koridor yang lebih kecil berdasarkan jalan utama yang menghubungkan Pusat Bandar Kuala Lumpur. Sejumlah 8 koridor telah disusun semula iaitu Koridor Ampang, Koridor Cheras, Koridor Sungai Besi, Koridor Klang Lama, Koridor Lebuhraya Persekutuan, Koridor Damansara, Koridor Jalan Ipoh dan Koridor Jalan Pahang. Penyusunan semula ini adalah untuk mengurangkan pertindihan perkhidmatan dan meningkatkan kesalinghubungan perjalanan awal dan akhir pengguna.
Di bawah pelaksanaan BNR, SPAD telah memperuntukkan laluan tertentu kepada pengendali bas yang terlibat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka. Di samping itu, dengan adanya laluan khusus, pengendali dapat menumpukan usaha dan perbelanjaan untuk menambah bilangan bas, mengurangkan masa menunggu dan juga menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada rakyat.

Langkah penyusunan semula ini juga telah memperkenalkan sistem penomboran laluan bas yang diseragamkan bagi semua pengendali. Sistem ini bertujuan membantu penumpang mengenalpasti laluan destinasi setiap perkhidmatan bas berdasarkan nombor perkhidmatan bas tersebut. BNR akan turut menyediakan panel maklumat bas bagi kesemua hentian di kawasan Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang untuk membolehkan pengguna merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah.

Panel maklumat bas ini akan memaparkan nombor laluan dan maklumat jadual bas. Di bawah inisiatif ini, sekitar 3,000 panel maklumat akan dipasang pada 2016 di hentian bas yang terpilih dan hab utama dalam GKL/KV. Manakala, baki selebihnya (3,700 unit), akan dipasang secara berperingkat menjelang 2017. Proses ini akan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan.

Pengguna dan orang ramai digalakkan memberikan maklum balas serta menyuarakan pandangan mereka kepada SPAD mengenai BNR melalui talian 1-800-88-7723 (SPAD), emel kepada aduan@spad.gov.my; Twitter: @aduanSPAD atau @SPADchannel dan laman Facebook SPAD, facebook.com/SPAD.my.