Anak Syarikat Tan Chong Motor Holdings Bhd, TC Trucks Sales Sdn Bhd lancar bas King Long baharu untuk pelbagai kegunaan

Created: 09.March 2019

TC Trucks Sales Sdn Bhd, anak syarikat Tan Chong Motor Holdings Berhad mencapai satu lagi kejayaan dalam sejarah syarikat dengan melancarkan chasis bas King Long XMQ6120AS baharu yang direka oleh Xiamen King Long United Automotive Industry Co Ltd (“King Long”) dari China. Dua spesifikasi chasis telah diperkenalkan iaitu XMQ6120AS-P premium dan XMQ6120AS-S standard, bas baharu ini disasarkan kepada pemilik syarikat pengangkutan serta pengendali pelancongan.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Presiden Tan Chong Motor Holdings Bhd, Dato’ Tan Heng Chew dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Luar Negara, Xiamen King Long United Automotive Industry Co Ltd., Simon Xie Wei Guo.

King Long mengkhusus dalam aspek reka cipta, penyelidikan dan pembangunan, pengilangan, jualan serta servis bas-bas bersaiz sederhana dan besar, koc dan minivan. Dengan tiga kemudahan pengilangan yang besar di China, King Long merupakan salah satu pengilang bas serta koc terbesar di dunia. Ia mampu menghasilkan lebih 20,000 unit bas dan koc, di samping 30,000 minivan setiap tahun.

Pelancaran chasis bas ekspress antara bandar dan persiaran itu menjadi chasis bas pertama diperkenalkan selepas pelantikan TC Trucks Sales Sdn Bhd pada Jun 2018 selaku pengedar tunggal, pemasang dan penyedia perkhidmatan selepas jualan untuk bas serta koc King Long di Malaysia.


Ketua Divisyen Perniagaan Trak & Bas Tan Chong Group, Tan Keng Meng berkata, “Chasis bas King Long XMQ6120AS ialah chasis bas baharu yang berkualiti dan boleh dipercayai. Pelbagai aplikasi direka untuk menawarkan penyelesaian kepada pelanggan demi memenuhi keperluan perniagaan pelanggan kami.”


“Ia menawarkan inovasi terbaik untuk mobiliti dan pergerakan yang lebih efisien. Kami sangat yakin inilah chasis bas yang akan menetapkan satu penanda aras baru dari segi prestasi, keselesaan, ketahanan, keselamatan dan boleh dipercayai, aspek penting dalam industri bas.


“TC Trucks Sales Sdn Bhd amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan King Long selaku pengedar tunggal di Malaysia. Pengenalan chasis bas baru ini telah menandakan satu pencapaian yang penting kepada kami. Dengan rangkaian cawangan kami yang ekstensif, perkhidmatan selepas jualan berkualiti dan keupayaan yang ditawarkan oleh kumpulan kami, kami yakin boleh meningkatkan jenama King Long di sini,” tambah Tan.


Dibina bersama enjin berkualiti tinggi, chasis varian premium XMQ6120AS-P digerakkan oleh enjin Weichai berkuasa 400hp dan ZF transmisi automatik 6-kelajuan Enjin yang berkuasa dengan kelajuan rendah dan tork yang tinggi ini mempunyai ciri-ciri hebat iaitu prestasi dinamik dan penggunaan bahan api yang begitu menjimatkan. Bukan itu sahaja, aspek getaran dan kekasaran (NVH) yang telah dioptimumkan nyata memberi pengalaman yang selesa dan mewah kepada pemandu serta penumpang.


Sementara varian XMQ6120AS-S standard dipasang dengan enjin Cummins yang penuh kuasa tetapi ringan dan kompak berkuasa 375hp, ia dipadankan bersama FAST transmisi manual 6-kelajuan. Pilihan rangkaian kuasa yang fleksibel itu juga mempunyai satu konfigurasi bersesaran 8.9 liter, ia lebih ringan berbanding dengan enjin lain. Pengendali perniagaan pasti dapat dimanfaatkan dari segi prestasi, pecutan, penjimatan bahan api dan kos operasi lebih rendah yang ditawari.


Pengarah Jualan dan Pemasaran Luar Negara, Xiamen King Long United Automotive Industry Co Ltd., Simon Xie Wei Guo berkata, “Chasis bas King Long XMQ6120AS merupakan salah satu inovasi yang terbaharu. Kami menawarkan penyelesaian mobiliti yang efisien dan boleh dipercayai. King Long ialah salah satu pengeluar bas dan koc terbesar di dunia dengan pengalaman lebih daripada 30 tahun dalam pengilangan bas dan koc professional, bersama kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 unit setahun. Kami memiliki pusat-pusat teknologi perusahaan yang canggih, stesen penyelidikan pasca kedoktoran, pusat serta institusi ujian tenaga dan keselamatan. Kami memang komited untuk menghasilkan produk yang dapat memenuhi permintaan pasaran global.


“Produk King Long telah dieksport ke lebih daripada 180 buah negara dan Malaysia ialah salah satu pasaran yang penting bagi kami di rantau ini. Kami amat berbangga kerana TC Trucks Sales Sdn Bhd menjadi rakan kami di sini. Kami percaya dalam jangka masa yang panjang, kerjasama ini akan membantu untuk memperkenalkan lebih banyak produk bas King Long di Malaysia,” tambah Xie.


Chasis bas King Long XMQ6120AS baharu telah menjalani ujian ketat berdasarkan kepada standard global. Bas ini dilengkapi dengan speedometer yang boleh dipadankan dengan teknologi CAN-Bus termaju bagi memantau semua peranti elektrikal serta mengesan semua perincian kerosakan dengan mudah, seterusnya meningkatkan aspek keselamatan dan kebolehpercayaannya.


Bas ini juga dilengkapi dengan sistem brek anti-kunci ABS WABCO. Ia merupakan sistem kawalan brek yang terkenal di dunia dan berfungsi untuk mengelakkan roda daripada terkunci dalam situasi brek kecemasan. ABS ialah sistem yang sangat penting kerana ia membantu pemandu kenderaan komersial mengekalkan kestabilan kenderaan. Ia dapat menawarkan tahap keselamatan yang lebih baik dengan memberhentikan kenderaan sepenuhnya dalam jarak paling dekat dan selamat.


Ciri keselamatan lain yang terdapat dalam bas ini termasuk brek udara sepenuhnya, brek cakera di hadapan, enam beg udara dan fungsi pengehad kelajuan yang telah ditetapkan iaitu 90km sejam. Ia memang selari dengan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.


Bas ini mempunyai ciri suspensi udara untuk memberi lebih keselesaan kepada pemandu dan penumpang. Bas ini juga direka dengan tahap ketinggian yang sesuai kepada pemandu untuk memberi kualiti pemanduan, kestabilan dan keselesaan.


Tempahan chasis bas King Long XMQ6120AS baharu kini sudah dimulai. Sempena pelancaran ini, TC Trucks Sales Sdn Bhd menawarkan pakej promosi yang merangkumi rebat sebanyak RM8,000 ke atas chasis bas dan tiga servis penyelenggaraan percuma untuk alat ganti serta kos buruh bagi 40 unit tempahan yang terawal, termasuk 19 unit yang telah dijual kepada empat pelanggan iaitu Five Stars Express Tour & Travel Sdn Bhd, Mayflower Car Rental Sdn Bhd, Pioneer Coachbuilders Sdn Bhd dan Siang Malam Travel & Express Sdn Bhd.